Drama Kedai Jed di Shanghai

Drama kedai Jed di Shanghai

Alkisahnya, saya telah mengikut rombongan lawatan induksi dari tempat kerja saya ke China untuk satu minggu, iaitu pada 9 - 14 Mei 2014.

Tempat-tempat yang dilawat termasuklah Hangzhou, Suzhou dan Shanghai.

Sewaktu di Shanghai, kami telah melawat ke beberapa tempat membeli belah yang terkenal, termasuk sebuah kedai jed yang paling gilang gemilang.

Kononnya kedai jed ini pernah menaja pameran jed terbesar tahun sebelumnya di China.

Masuk saja ke dalam kedai, terdapat bermacam ukiran patung yang diperbuat daripada jed, dan yang paling menarik perhatian ialah, sebuah bahtera dengan ukiran bermotifkan kesenian China yang diperbuat daripada jed China.

Jenis-jenis Jed

Kami terus ke tingkat atas. Kemudian, dipersilakan masuk ke dalam bilik tayangan.

Kami diberikan penerangan oleh seorang staf wanita tentang asal usul jed dan jenis-jenis jed yang terdapat di pasaran. Syarikat mereka juga memiliki sebuah lombong terbesar di Burma.

Menurutnya, Jed yang terbaik diperoleh dari Burma. Manakala jed keluaran tanah China adalah jenis jed yang ringan, rapuh dan mudah pecah. Jed Burma pula adalah jed yang paling keras. Selain jed, mereka turut menggali Delima (Ruby) dan batu Nilam (Sapphire). Delima dan Nilam yang mereka gali dari sana juga memiliki warna yang lebih gelap.

Kerana jed keluaran China yang rapuh dengan warna yang kurang berbanding jed Burma, banyak pengusaha jed yang menyuntik jed mereka dengan warna sintetik untuk menambahkan warnanya. Tidak kurang juga jed-jed plastik dan sintetik yang terdapat di pasaran. 

Jed Malaysia adalah antara jed palsu atau sintetik, kerana dilahirkan di makmal dari Malaysia. Selain itu, ada banyak lagi negara pengeluar jed sintetik ini yang saya tak ingat namanya.

Di pertengahan ceramah, tiba-tiba seorang staf lain mengetuk pintu dan bercakap sesuatu dengan penceramah, dia juga ambil kesempatan mengira kami para hadirin yang hadir di situ.

Dalam hati saya, 'mungkin diorang mahu kasih hadiah sama kami'. Hehe..

Penceramah kata, anak bos kedai sedang dalam perjalanan ke sini dan mahu berjumpa dengan kami.

Hari ini adalah hari pertamanya bekerja dan masuk Office. Kedai ini diwariskan kepadanya sempena hadiah harijadinya kemarin.

Fiona

Fiona dan rantai Jed Burma 
Tidak lama, anak bos pun datang. Seorang gadis bernama Fiona. Berbaju putih tanpa lengan, berseluar jeans dan spek mata hitam tergantung di leher baju. Jari-jemarinya penuh dengan cincin.

Fiona mengalu-alukan kedatangan kami ke kedainya dan memanggil kami dengan gelaran 'brothers and sisters' dan 'my countrymen'. Menurutnya, nenek dan datuk sebelah ayahnya berasal dari Kudat. Jadi, dia adalah berdarah campuran, separuh Sabah.

VIP Room

Fiona membawa kami ke bilik sebelah, tertulis di pintunya 'VIP Room' untuk melihat koleksi jed mereka. Katanya, dia tidak menjual jed-jed yang berada di VIP room kepada kami kerana jed-jed itu terlalu mahal dan hanya menyasarkan penjualannya kepada pelancong sahaja, terutama dari Jepun. Kami pula dia anggap sebagai countrymen-nya. Walaubagaimanapun, tambahnya lagi, jika ada antara kami yang berminat untuk membeli, dia akan memberikan diskaun istimewa dengan kuasa sebagai pemilik kedai jed itu.

Kami sangat teruja, terasa sangat dialu-alukan.

Demo permata

Fiona mengeluarkan satu papan rantai jed dengan butir-butir jed hijau. Katanya, itu adalah jed Burma. Batu permata kedua keras selepas berlian.

Dia menggosok satu butir jed di rantai itu ke cermin kecil yang khas untuk demo. Cermin itu terpotong. Wow! Kami semua terkasima. Sememangnya jed Burma sangat keras. Selepas memotong cermin itu, dia memperlihatkan kepada kami keadaan batu jed itu. Masih halus dan tiada kesan calar! Kami masing-masing menyentuh jed itu.

Dia memberi kami beberapa soalan. Berapa kah harga kos seutas rantai jed itu? Dan berapakah umurnya? Yang menjawab dengan tepat, dihadiahkan terus rantai-rantai jed Burma itu. Sangat membahagiakan. Saya turut merasa gembira kerana kawan-kawan dapat rantai jed percuma.

Semua yang hadir juga mendapat hadiah buah rantai jed darinya sempena hari lahirnya. Katanya, 'hadiah for you'. Oh dia tahu berbahasa Melayu sedikit.

Selepas itu dia melakukan satu demo lagi. Iaitu demo batu Delima. Dengan sebentuk cincin, dia menyuluhkan lampu pada bawah permata dan pantulan cahaya terbias ke atas siling. Lampu dimalapkan. Waaaahh...  Seperti melihat bintang-bintang bertaburan di langit malam. Sangat cantik. Tapi masih tidak membuktikan batu itu asli pada saya hehehe..

Dia menjemput kami melihat-lihat koleksi sekeliling vip Room. Saya pun berlegar-legar melihat koleksi mereka. Tiada yang sesuai untuk saya. Cincin delima semua bersaiz besar. Gelang delimanya saya tak mampu beli, akibat shopping sakan di kilang sutera kemarin. Hahaha...

Pembelian


Pu He Sheng Shi: Nama kedai jed

Kawan-kawan lain banyak yang membeli. Sehingga minit-minit akhir. Barulah mereka mengeluarkan koleksi mereka yang lebih murah sedikit.

Saya telah membeli 2 gelang jed Burma yang berwarna putih, yang juga boleh memotong cermin (demo sempat dibuat). Pada harga 50 yuan, atau RM25 untuk dua utas. Selain itu, saya juga membeli rantai berbuah delima dan cincin batu delima dengan harga 100 yuan, atau RM50. Menjadikan total belanja di situ 150 yuan atau RM75. Saya hanya mengambil satu utas gelang saja untuk saya pakai sendiri, yang lain saya hadiahkan pada adik-adik saya.

Sebelum pulang, kami sempat group photo dan selfie dengan Fiona. Ambil aura anak orang kaya lah katakan, hehehe...

Fiona juga menjemput kami datang ke perasmian kedai jed ayahnya di Kuala Lumpur pada hujung tahun itu.

Kedapatan

Semuanya berjalan dengan baik, sehingga kami pulang ke Sabah. Seorang kawan mengirimkan screenshot tentang modus operandi kedai jed itu. Bahawa, sudah ramai yang tertipu oleh kedai itu.

Yang dari Singapura menuntut bahawa jed yang mereka beli semua palsu setelah menjalani pemeriksaan di negara mereka. Yang dari Philippines juga menceritakan jalan cerita yang sama, ada staf yang mengetuk sewaktu ceramah memberitahu anak bos nak datang. Cuma watak Fiona digantikan dengan watak putera. Kononnya, ibunya berasal dari Philippines.

Rupanya inilah teknik mereka untuk mendapatkan jualan. Tentang asli atau tidak batu jed mereka itu saya tak dapat pastikan. Barang-barang yang saya beli pun setanding harga barang kemas plastik dan semi precious stone. Jadi saya tidak merasa rugi. Cuma saya rasa lucu kerana terlibat dalam drama penipuan. 

Untuk membaca cerita penipuan itu, boleh la mencarinya di TripAdvisor.com.

Saya kesal kerana tidak mempraktikkan ilmu yang saya ada. Teknik mengesan pembohongan telah tidak diaplikasikan kerana merasa bahagia telah dilayan oleh puteri raja yang kaya raya. Hahaha... Keburukan yang ada padanya pun mengaburkan pandangan, hanya kerana layanan bagus dan hadiah yang kami terima.

Yang penting, semua orang gembira sewaktu dalam drama itu. Merasa seperti dalam cerita dongeng. Barang-barang kemas yang sudah terlanjur dibeli dipakai saja. Cantik juga.

Mungkin juga jed yang mereka jual adalah asli, cuma cara pemasaran mereka sahaja yang memerlukan drama.

Saya menerima dan memaafkan kelalaian diri saya dan drama yang dibawa oleh kedai jed dan tuan puteri Fiona seadanya. Semua ini hanya pementasan dunia yang penuh warna warni. Kalau tidak mengalami, tidak tahu bagaimana rasanya.

Saya menulis cerita ini, supaya mereka yang tidak suka ditipu boleh lah berhati-hati dengan drama seperti ini, di mana pun ia dilakonkan.

Tapi, kalau tidak mengalami, tidak tahu bagaimana rasanya... Hahaha..

Salam Cinta Semesta ❤ 
Nooren Aman

Ulasan

  1. Mantap dan sangat bersungguh penulisan anda.. Kipidap don gibab gud lak.

    BalasPadam
  2. Sands Casino | Sydney, NSW | Slot Machines | TCS - Slot
    The Sands Casino is a well-known and 카지노사이트 trusted casino in Sydney and its location in The Sydney CBD and Surfers Paradise 1xbet has it septcasino all in one place.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tidur di Airport (KLIA2)

Saat-saat Indah Travel

Postcard Girl, Cambodia